Pages



Selamat Datang ke Sistem Alumni SK Durian Burong. Pengurusan SK Durian Burong mengalu-alukan semua bekas warga SK Durian Burong mendaftar butiran diri dalam
Sistem Alumni ini.

Pendaftaran | Lihat Rekod

Tuesday, February 8, 2011

Menginsafi dan Membahagiakan Diri

Salam bahagia. Hari ini Badan Kebajikan Staf SKDB mengadakan majlis meraikan perkhidmatan lama bertugas staf yang bertukar ke penempatan baru. Kebiasaannya peringkat awal pertukaran diselubungi keresahan. Tetapi dengan kesedaran potensi diri akhirnya potensi diri boleh dijadikan modal dorongan untuk meningkatkan kompetensi yang sedia ada. Harus dingat kerja memberi sumber cabaran, kebebasan memilih apa yang hendak dilakukan dan pasti ada maklumbalas terhadap prestasi kerja masing-masing.

Kepada rakan-rakan guru dan staf sokongan yang masih berkhidmat di SKDB, terus kekalkan sumbangan dan merasa bahagia untuk terus bertugas di sekolah ini. Jangan mudah risau, sedih atau susah hendak tidur kerana kerja.

Orang bijak pandai ada berpesan untuk bahagia hidup dan bekerja amalkan perkara positif seperti:
1. Sentiasa bersyukur; punya makan, pakai cukup, badan sihat dan pancaindera sempurna.
2. Yang berlalu biarlah berlalu; lupakan kisah silam, jadikan pengajaran dan tutu fail.
3. Hiduplah untuk hari ini; jangan gelisah, resah atau berhiba kerana masa lampau atau masa depan yang belum pasti.
4. Fahami fitrah manusia; mereka tidak berhenti mengkritik, mengutuk atau tidak berterima kasih.
5. Sentiasa berbuat baik; membalas baik dengan jahat itulah serendah-rendah perangai, membalas jahat dengan jahat bukanlah berperikemanusiaan, membuat baik dibalas baik adalah biasa. Tetapi membalas jahat dengan baik adalah cita-cita kemanusiaan yang tinggi.
6. Sentiasa muhasabah diri; ambil masa untuk menilai, merenung dan menilik ta'akul kelemahan, kekuatan dan potensi diri sendiri.

Saya merasakan bahawa kita semua sentiasa mahu hidup bahagia, selesa di tempat kerja riang hati bila di rumah bersama keluarga. Peluang yang ada jarang berulang, bersama nikmati ketenangan kerja walau dimana bertugas. Selamat bertugas kepada yang bertukar dan yang kekal di SKDB.

Friday, February 4, 2011

Guru sebagai Pendidik Profesional, Pekerja dan 'Orang Biasa'

Salam hormat. Pada minggu ini pihak sekolah menerima 2 orang guru pelatih dibawah program PISMP dari IPG Dato' Razali. Kita mengucapkan selamat datang dan selamat melaksanakan praktikum selama 12 minggu di SKDB. Guru pelatih inilah apabila tamat pengajian nanti akan menjawat jawatan guru profesional.

Kita percaya bahawa guru adalah orang yang diharapkan dapat menjamin kanak-kanak untuk mendapat pendidikan. Kerjaya guru pada masa kini dan masa hadapan menjadi bertambah kompleks. Guru mesti memiliki keupayaan profesional untuk mengatur kurikulum dan menyebarkan dengan berkesan mengikut peringkat perkembangan setiap kanak-kanak.

Peluang mendapat 'pendidikan guru di universiti' bermakna kelayakan asas guru untuk mengajar adalah kelulusan universiti. Ini membolehkan peningkatan kualiti dan profesionalisme guru-guru tersebut. Mereka kemudian akan ditempatkan di sekolah-sekolah bandar, luar bandar atau pedalaman sama ada di Semenanjung atau di Sabah atau Sarawak.

Guru biasanya ditukarkan dari sesebuah sekolah ke sekolah yang lain selepas beberapa tahun penempatan pertama. Kebanyakan guru beranggapan pertukaran sekolah adalah sesuatu yang positif dari segi pembangunan profesional mereka. Pertukaran membolehkan guru mengetahui kekuatan, kelemahan mereka sebagai guru dan akan berusaha mencari dan membina identiti mereka sendiri.

Barangkali harus diingat bahawa peluang naik pangkat dalam profesion perguruan adalah terhad. Walaupun guru dibebankan dengan kerja yang banyak profesion ini tetap berjaya menarik ramai lulusan universiti untuk menceburinya. Ini adalah kerana struktur gajinya yang menarik, jaminan kerja sebagai kakitangan kerajaan dan menikmati status sosial yang baik dalam masyarakat. Jadi guru boleh memilih untuk menjadi pendidik profesonal, pekerja atau orang biasa. Apa pun pilihan guru atau bakal guru, jadilah orang yang berjasa.
 
Blogger Templates