Pages



Selamat Datang ke Sistem Alumni SK Durian Burong. Pengurusan SK Durian Burong mengalu-alukan semua bekas warga SK Durian Burong mendaftar butiran diri dalam
Sistem Alumni ini.

Pendaftaran | Lihat Rekod

Tuesday, February 8, 2011

Menginsafi dan Membahagiakan Diri

Salam bahagia. Hari ini Badan Kebajikan Staf SKDB mengadakan majlis meraikan perkhidmatan lama bertugas staf yang bertukar ke penempatan baru. Kebiasaannya peringkat awal pertukaran diselubungi keresahan. Tetapi dengan kesedaran potensi diri akhirnya potensi diri boleh dijadikan modal dorongan untuk meningkatkan kompetensi yang sedia ada. Harus dingat kerja memberi sumber cabaran, kebebasan memilih apa yang hendak dilakukan dan pasti ada maklumbalas terhadap prestasi kerja masing-masing.

Kepada rakan-rakan guru dan staf sokongan yang masih berkhidmat di SKDB, terus kekalkan sumbangan dan merasa bahagia untuk terus bertugas di sekolah ini. Jangan mudah risau, sedih atau susah hendak tidur kerana kerja.

Orang bijak pandai ada berpesan untuk bahagia hidup dan bekerja amalkan perkara positif seperti:
1. Sentiasa bersyukur; punya makan, pakai cukup, badan sihat dan pancaindera sempurna.
2. Yang berlalu biarlah berlalu; lupakan kisah silam, jadikan pengajaran dan tutu fail.
3. Hiduplah untuk hari ini; jangan gelisah, resah atau berhiba kerana masa lampau atau masa depan yang belum pasti.
4. Fahami fitrah manusia; mereka tidak berhenti mengkritik, mengutuk atau tidak berterima kasih.
5. Sentiasa berbuat baik; membalas baik dengan jahat itulah serendah-rendah perangai, membalas jahat dengan jahat bukanlah berperikemanusiaan, membuat baik dibalas baik adalah biasa. Tetapi membalas jahat dengan baik adalah cita-cita kemanusiaan yang tinggi.
6. Sentiasa muhasabah diri; ambil masa untuk menilai, merenung dan menilik ta'akul kelemahan, kekuatan dan potensi diri sendiri.

Saya merasakan bahawa kita semua sentiasa mahu hidup bahagia, selesa di tempat kerja riang hati bila di rumah bersama keluarga. Peluang yang ada jarang berulang, bersama nikmati ketenangan kerja walau dimana bertugas. Selamat bertugas kepada yang bertukar dan yang kekal di SKDB.

Friday, February 4, 2011

Guru sebagai Pendidik Profesional, Pekerja dan 'Orang Biasa'

Salam hormat. Pada minggu ini pihak sekolah menerima 2 orang guru pelatih dibawah program PISMP dari IPG Dato' Razali. Kita mengucapkan selamat datang dan selamat melaksanakan praktikum selama 12 minggu di SKDB. Guru pelatih inilah apabila tamat pengajian nanti akan menjawat jawatan guru profesional.

Kita percaya bahawa guru adalah orang yang diharapkan dapat menjamin kanak-kanak untuk mendapat pendidikan. Kerjaya guru pada masa kini dan masa hadapan menjadi bertambah kompleks. Guru mesti memiliki keupayaan profesional untuk mengatur kurikulum dan menyebarkan dengan berkesan mengikut peringkat perkembangan setiap kanak-kanak.

Peluang mendapat 'pendidikan guru di universiti' bermakna kelayakan asas guru untuk mengajar adalah kelulusan universiti. Ini membolehkan peningkatan kualiti dan profesionalisme guru-guru tersebut. Mereka kemudian akan ditempatkan di sekolah-sekolah bandar, luar bandar atau pedalaman sama ada di Semenanjung atau di Sabah atau Sarawak.

Guru biasanya ditukarkan dari sesebuah sekolah ke sekolah yang lain selepas beberapa tahun penempatan pertama. Kebanyakan guru beranggapan pertukaran sekolah adalah sesuatu yang positif dari segi pembangunan profesional mereka. Pertukaran membolehkan guru mengetahui kekuatan, kelemahan mereka sebagai guru dan akan berusaha mencari dan membina identiti mereka sendiri.

Barangkali harus diingat bahawa peluang naik pangkat dalam profesion perguruan adalah terhad. Walaupun guru dibebankan dengan kerja yang banyak profesion ini tetap berjaya menarik ramai lulusan universiti untuk menceburinya. Ini adalah kerana struktur gajinya yang menarik, jaminan kerja sebagai kakitangan kerajaan dan menikmati status sosial yang baik dalam masyarakat. Jadi guru boleh memilih untuk menjadi pendidik profesonal, pekerja atau orang biasa. Apa pun pilihan guru atau bakal guru, jadilah orang yang berjasa.

Wednesday, January 26, 2011

Project-Based Learning' meningkatkan 'Accessibility' PSS

Salam bahagia. Awal minggu ini SKDB telah mengadakan mesyuarat pengurusan pusat sumber sekolah (PSS). Untuk makluman PSS ini terletak di bawah JK utamanya iaitu Pengurusan Bidang Kurikulum. Selepas ditilik, dicari dan ditemui objektifnya ialah meningkatkan keberkesanan aktiviti-aktiviti dengan petunjuk prestasinya ialah bilangan aktiviti.

Terdapat beberapa JK kecil PSS seperti JK perpustakaan, JK Media/ABM, JK Makmal Komputer/ICT(e-book), JK Bilik Tayangan/Kampus Astro dan Program NILAM. Maka JK kecil berkenaan telah bersedia dengan pelan tindakan masing-masing. Apa yang menariknya ialah berkenaan meningkatkan penggunaan ICT yang melibatkan e-book semasa P & P. Isunya ialah penggunaan e-book sebagai buku teks tidak dipraktik oleh guru sebab guru tidak memiliki ebook. Guru terus menggunakan 'hardcopy' dalam bentuk buku teks yang sedia ada.

Satu cara penyelesaiannya guru boleh terus membenarkan penggunaan ebook di bilik darjah. Tetapi P & P boleh diberi nilai tambah dengan mendedahkan murid-murid dengan 'Project-based learning' (PBL). Johana Johari (2006)memetik dari Buck Institute of Education (BIE) memberi definasi PBL...'as a systematic teaching method that engages students in learning knowledge and skills through an extended inquiry process structured around complex, authentic questions and carefully designed products and task'.

Adalah jelas kreativiti dan inovasi dalam P & P boleh berlaku dengan mengalihkan 'traditional instruction' kepada PBL. Ia boleh digunakan dalam pelbagai mata pelajaran. Pokoknya adakah guru-guru telah bersedia dengan pengetahuan dan kemahiran PBL? Ini adalah kerana kriteria P & P dalam 'traditional instruction' berbeza sama sekali dengan kriteria P & P berasaskan PBL. Langkah-langkah PBL dibuat secara tersusun dengan....Question...Plan...Schedule....Monitor....Assess.... and Evaluate.

Meningkatkan keberkesanan penggunaan PSS boleh dilakukan melalui peningkatan 'accesibility' PSS dan PBL adalah pelan tindakan yang boleh dijayakan murid dibawah selian guru.

Sunday, January 16, 2011

Membina Janji Meningkatkan Kecemerlangan UPSR 2011

Salam hormat. JK Program Kecemerlangan UPSR telah mengadakan mesyuarat perancangan program dan beberapa strategi telah dikenalpasti untuk meningkatkan pencapaian UPSR 2011. Diantara strateginya ialah meningkatkan kapasiti guru tahun 6, meningkatkan lagi keberkesanan pembelajaran murid, meningkatkan sokongan dan harapan ibubapa dan pemantauan berterusan oleh pengurusan sekolah.

Setiap strategi perlu diikuti dengan tindakan-tindakan yang akan dilakukan guru-guru yang telah dipertanggungjawabkan. JK berpendapat adalah wajar proses pengajaran dan pembelajaran mesti berasas kepada dorongan positif dalam bentuk; pengajaran mesti mengikut keupayaan murid, memberi latihan kerja bertulis yang banyak, mengenaplpasti murid secara individu dari segi keupayaan pencapaian, kerja-kerja bertulis diperiksa atau disemak dan setiap kesalahan mesti diperbetulkan atau diberi pemulihan. Akhir sekali murid-murid diberi pengukuhan positif mengikut penambahbaikan yang mereka capai.

Mesyuarat bersetuju untuk mencapai sasaran 16% semua A, lulus mininum C 70% dan GPS sekurang-kurangnya 2.00. Penetapan sasaran ini telah mengambil kira pencapaian 5 tahun berturut-turut UPSR 2007 hingga 2010 dan menjadikan pencapaian 2007 sebagai 'benchmark'.

Satu sesi perjumpaan khas GB dengan murid-murid tahun 6 juga diadakan untuk menjelaskan hasrat dan harapan guru-guru untuk meningkatkan kecemerlangan UPSR 2011. Murid-murid tahun 6 mesti bersedia untuk membina kejayaan diri sendiri. Ia boleh bermula dengan membina janji diri yang positif. Janji untuk merubah diri menjadi lebih baik. Dari GB SKDB.

Thursday, January 6, 2011

Selamat Tahun Baru 2011

Salam bahagia. Hampir seminggu sekolah telah memulakan P & P pada tahun baru 2011. Belum lewat untuk saya mengucapkan selamat tahun baru 2011. Tahun baru turut membawa keazaman baru, impian yang hendak dicapai dan membina keupayaan baru dalam kerjaya perguruan. Begitu juga kepada para pelajar usaha meningkatkan pencapaian tidak terhenti begitu sahaja tanpa memasang impian baru. Semoga tahun 2011 kita dapat berusaha lebih tekun menongkah halangan dan berupaya membina kejayaan baru untuk sekolah dan diri sendiri. Dari GB SK Durian Burong.
 
Blogger Templates