Pages



Selamat Datang ke Sistem Alumni SK Durian Burong. Pengurusan SK Durian Burong mengalu-alukan semua bekas warga SK Durian Burong mendaftar butiran diri dalam
Sistem Alumni ini.

Pendaftaran | Lihat Rekod

Monday, April 27, 2015

Kem Membaca 1 Malaysia


Kem Membaca 1 Malaysia dengan tema Membaca Menjana Pemikiran Melaysia telah berlangsung dengan jayanya pada 21 hingga 23 April 2015. Program ini dikelolakan oleh Jawatankuasa Pusat Sumber Sekolah. Matlamat program ini adalah untuk mengukuhkan budaya membaca dan menanam sikap cintakan ilmu melalui pelbagai aktiviti yang berkaitan dengan pembacaan dalam kelangan murid. Manakala objektif yang telah digariskan oleh kementerian adalah :

  • Meningkatkan kesedaran tentang kepentingan membaca di kalangan murid dan guru.
  • Memupuk minat amalan membaca di kalangan warga sekolah.
  • Meningkatkan tahap pembacaan di kalangan murid.
  • Menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat dan cintakan ilmu.

Program ini berlangsung selama 3 hari. Pelbagai aktiviti telah diatur mengikut tahap. Antara aktiviti yang dipertandingkan untuk tahap 1 adalah seperti Pertandingan Tulisan Mekanis dan Pertandingan Mewarna. Manakala murid tahap dua terlibat dengan Pertandingan Tulisan Berangkai dan dan Pertandingan Mencipta Poster. Program ini juga diisi dengan persembahan syarahan, public speaking dan mendeklamasikan sajak.  Majlis perasmian dan penutup serta penyampaian disempurnakan oleh Tuan Guru Besar, Tn. Hj. A. Razak bin Ahmad. Majlis berakhir pada jam 11  dengan aktiviti Baca Bersama 10 minit. 


Sunday, April 19, 2015

Kem Bestari Solat 2015



Alhamdulillah, pada hari Sabtu bersamaan 18 April 2015, Panitia Pendidikan Islam SK Durian Burong telah berjaya melaksanakan Kem Bestari Solat Fasa 1 dengan kehadiran murid tahun 1 hingga tahun 6. Sambutan di kalangan murid adalah menggalakkan. Manakala semua guru termasuk guru Kelas KAFA adalah merupakan fasilaltor kem tersebut. Program ini bermula pada jam 8.30 pagi hingga 1.30 petang.

Antara objektif kem yang telah digariskan oleh Kementerian adalah seperti berikut :

Tahun 4 
 ·         Murid dapat berwudhuk dengan sempurna
 ·         Murid dapat melafazkan bacaan solat dengan betul
 ·         Murid dapat menyatakan syarat-syarat wajib sah solat

Tahun 5
·         Murid dapat melaungkan azan dan iqamah dengan betul 
·         Murid dapat melaksanakan solat berjemaah dngan sempurna
·         Murid dapat memahami dan menyatakan perbezaan masbuk dan muwafiq

Tahun 6
·         Murid dapat menghafaz surah-surah tertentu dengan sempurna
·         Murid dapat membaca dan menghafaz lafaz niat solat jenazah dengan betul
·         Murid dapat menyebut rukun dan syarat sah solat sah solat jenazah
·         Murid dapat mengetahui kedudukan imam bagi jenazah lelaki dan perempuan


Diharap dengan terlaksanakan program ini, murid-murid SKDB memperoleh banyak pengetahuan khususnya menjurus ke arah mempraktikkan amalan solat harian dengan betul. 



Wednesday, April 8, 2015

Solat Hajat Pembukaan Sekolah




Program Solat Hajat Pembukaan Sekolah telah berlangsung dengan jayanya pada 8 April 2015. Program ini dikelolakan oleh Jawatankuasa Akhlak Mahmudah Panitia Pendidikan Islam. Ustaz Ahmad Ruslim bin Jaafar adalah merupakan imam jemputan bagi program berkenaan. Beliau mengimamkan Solat Maghrib, Solat Hajat, Solat Isyak serta memimpin Bacaan Yasin. Ibubapa yang hadir datang mendaftar seawal jam 6.45 petang. Sambutan dari semua warga sekolah adalah amat memberangsangkan. Semua guru, pekerja sekolah, Guru KAFA dan juga pekerja swasta saling bekerjasama menjayakan program ini. Manakala seramai 108 ibubapa juga turut hadir mengimarahkan lagi majlis ini. Alhamdulillah. Program ini berakhir pada jam 10 malam. Semoga program ini menambah Barakah dan RahmatNya kepada kita semua. Semoga ikatan silaturrahim di kalangan semua komuniti sekolah menjadi semakin erat agar kita dapat bekerjasama dengan harmoni demi kecemerlangan anak-anak di SK Durian Burong . Insyaallah.

Thursday, April 2, 2015

Perkhemahan Unit Beruniform 2015





Program Perkhemahan Unit Beruniform telah berlangsung dengan jayanya pada 2 hingga 4 April 2015 bertempat di SK Durian Burong. Terdapat 11 aktiviti yang dirancang pada hari tersebut. Majlis Penutup telah dilaksanakan dengan jayanya pada hari terakhir. Ucapan penutup dan Majlis Penyampaian Hadiah telah disempurnakan oleh YDP PIBG En. Razak bin Ali. Berikut adalah keputusan pertandingan :

Khemah Terbaik
Tempat Pertama : TKRS
Tempat Kedua    : Puteri Islam
Tempat Ketiga    : Tunas Puteri

Kawad Kaki
Tempat Pertama : TKRS
Tempat Kedua    : Pengakap
Tempat Ketiga    : Tunas Puteri

Masakan
Tempat Pertama : TKRS
Tempat Kedua    : Tunas Puteri
Tempat Ketiga    : Puteri Islam

Persembahan Kebudayaan
Tempat Pertama : TKRS
Tempat Kedua    : Tunas Puteri
Tempat Ketiga    : Pengakap

Tahniah diucapkan kepada pasukan TKRS yang memenangi semua acara yang dipertandingkan dan sekaligus menjuarai Piala Pusingan yang telah disumbangkan oleh En. Zainal bin Senin. Diikuti dengan Tunas Puteri di tempat kedua, Pengakap di tempat ketiga, PBSM di tempat keempat, manakala Puteri Islam di tempat kelima. Tahniah juga diucapkan kepada adik Muhammad Adam bin Shafiie dari Pasukan Pengakap kerana telah dinobatkan sebagai Peserta Lelaki Terbaik. Manakala adik Nur Sayeedatul Annesa bt. Masri dari Pasukan TKRS muncul sebagai Perserta Perempuan Terbaik. Majlis penutup diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada Tuan Guru Besar En. A. Razak bin Ahmad dan YDP PIBG, En. Razak bin Ali. Majlis bersurai pada jam 11.30 pagi. 

Akhir kata, setinggi penghargaan diucapkan kepada semua warga SKDB yang bertungkus lumus secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan program perkhemahan pada tahun ini. Jutaan terima kasih diucapkan.

Wednesday, April 1, 2015

Sekilas Pandang Guru Besar



  
 “ NAWAITU YANG BAIK HASILNYA BAIK “

Bersyukur kepada Allah Subhanahu Wataala atas limpah kurniaNya kerana kita masih diberikan peluang untuk hidup dan meneruskan penghidupan di alam maya ini.
Sebelum melangkah lebih jauh lagi, ingin saya merakamkan sekalung tahniah dan syabas kepada seluruh warga  SK Durian Burong atas kerjasama untuk menjayakan semua program sekolah. Sesungguhnya kita berjaya mengulangi lagi kejayaan-kejayaan  pada tahun sebelum ini. Saya percaya kejayaan dan kecemerlangan yang dicapai menjadi kebanggaan kepada semua warga sekolah kita. Saya amat berbangga dengan semangat kerjasama yang telah diberikan oleh semua warga sekolah dan PIBG bagi memastikan bahawa SK Durian Burong adalah yang terbaik dan berkemampuan membina insan cemerlang ,gemilang dan terbilang...Sesungguhnya janji Allah itu pasti.
Saya menyeru dan berharap semua warga pendidik SK Durian Burong agar melestarikan kecemerlangan pendidikan yang telah dicapai dan terus berjuang serta berkorban bagi mencipta pelbagai kejayaan pada tahun  di masa hadapan untuk agama, bangsa dan negara. Mantapkanlah permuafakatan, perpaduan, iklim kerja pendidikan dan akur setia kita kepada kepimpinan pendidikan negara. Marilah kita mengangkat tinggi kecemerlangan akademik, kokurikulum, pembangunan sahsiah dan kesejahteraan diri pelajar untuk kita terus menggapai kejayaan yang mampu melonjakkan nama sekolah kita. Insyaa Allah.
Sekian, Selamat Bertugas

“TIDAK ADA ORANG YANG MERANCANG UNTUK GAGAL,
TAPI RAMAI ORANG GAGAL KERANA TIDAK MERANCANG”

HJH ANI BT ENDUT
GURU BESAR 
 
Blogger Templates